Lebih Artikel

Tuesday, January 21, 2014

Dari ABS | Mencipta nilai cara salah & cara betul

Dari ABS: Mencipta nilai cara salah & cara betul


Banyak peniaga belum apa-apa dia terus hendak mengeluarkan produk. 

Katakanlah, dia terkenang arwah neneknya padai membuat rempeyek kacang hijau yang rangup dan sedap.

Dia pun mahu mengkomersialkan kerepek rempeyek kacang hijau neneknya itu.

Selepas berfikir hendak membuat rempeyek itu, barulah dia memikirkan kosnya. Dia pun mencongak-congak kos yang akan ditanggung.

Apabila dia sudah tahu kosnya, dia pun berfikir berapa harga dia mahu jual rempeyeknya itu. Kos bagi membuat 100 keping rempeyek itu adalah RM10.

Lalu dia pun berfikir berapa ringgit dia mahu jual bagi 100 keping rempeyek. Kira punya kira, dia mahu menjual 100 rempeyeknya pada harga RM22.

Kemudian, apabila rempeyeknya sudah dibuat, sudah dibungkus, sudah dimasukkan ke dalam kotak yang cantik, barulah dia memikirkan apa dia mahu cakap kepada pembeli supaya mahu membeli rempeyeknya.

Itu adalah cara yang salah mencipta nilai!

.

Cara yang betul mencipta nilai....

Kita kenal pasti dahulu kita hendak menjual kepada siapa.

Katakanlah, kita hendak menjual produk yang diperlukan oleh ibu-ibu muda. Mereka adalah wanita profesional, baru berkahwin, dan sedang hamil.

Kemudian, kita fikirkan apakah nilai-nilai yang sangat dihargai oleh ibu-ibu muda yang bekerja.

Sebagai contoh, mereka sangat sibuk - di pejabat mereka sibuk, di rumah mereka sibuk, hari kerja mereka sibuk, hujung minggu pun mereka sibuk.

Kita pun berfikir, mereka sangat menghargai masa dan tenaga. Mereka perlukan produk ataupun servis yang dapat menjimatkan masa dan tenaga mereka.

Kemudian, kita fikirkan pula pendapatan mereka, gaji mereka, kos hidup mereka, dan dayabeli mereka.

Dari situ baru kita fikirkan:

1. Kos pengeluaran yang sesuai.

2. Harga jualan yang mereka mampu beli.

Lalu kita terfikir hendak menjual baju hamil yang diperbuat daripada bahan tahan lasak, mudah dibasuh, tidak perlu diseterika, dan sesuai dipakai ke pejabat.

No comments:

Post a Comment